melangkah ke arah yang benar kerana tujuan yang benar
Bismillah wal Hamdulillah...
segala puji-pujian disandarkan hanya pada Allah Azza wa Jalla..
selawat
dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda,
para sahabat, dan seluruh umat manusia yang sentiasa meneruskan
perjuangan Rasulullah yg dicintai demi menegakkan islam yang haq...
********************
post kali ni nak berkongsi ttg salah satu isi dlm kitab al-hikam, karangan Imam Ibn 'Ato'illah As-Sakandari...
mulakan dengan bismillah,
pasangkan niat hnya keranaNya..baca perlahan-lahan dgn mata hati, dari
awal hingga ke akhirnya..insyaAllah wa bi iznillah tidak akn sia-sia
masa yg anda luangkan ni..mgkn yg sedikit ini mampu mngubah keseluruhan
hidup anda hingga ke akhir hayat...berubah ke arah yang baik, baik dalam
jagaanNya..insyaAllah...
ALAM YANG LIAR
Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari berkata dalam Hikamnya:
“Bilamana
Allah s.w.t. membuat makhluk liar terhadapmu (menyusahkan atau
menyakitimu), maka ketahuilah Dia ingin membuka buatmu pintu
berjinak-jinak hanya denganNya”.
Siapa
yang mendakwa hidup ini sentiasa menggembirakannya setiap detik bererti
telah dusta dalam dakwaannya. Tiada siapa yang tidak pernah merasa
susah, sedih, kecewa dan derita khususnya dalam menghadapi makhluk di
sekelilingnya.
Boleh
jadi orang yang paling diharapkan di sisi kita itulah orang yang telah
mengkhianati kita selama ini. Boleh jadi orang yang paling dikasihi
itulah sebenarnya paling membenci. Boleh jadi orang yang paling dekat
jasadnya dengan kita itulah orang yang paling jauh hatinya dari kita.
Teman yang selama ini paling dipercaya, mungkin esok menjadi musuh yang
paling merbahaya.
Rumah
yang baru dibeli dengan jaminan keselamatan dan kekukuhan untuk tempoh
yang lama boleh jadi retak atau roboh sejurus kita mendudukinya. Kereta
yang baru dibeli dengan harga yang tinggi itu mungkin juga kereta yang
dinaiki menuju musibah. Kawasan yang dijamin selamat dari gempa bumi
namun mungkin dibinasakan oleh banjir yang besar. Beginilah makhluk.
Makhluk
tidak menentu. Apa yang dari mereka tiada yang pasti. Apa yang dicari
dari mereka akan pergi. Apa yang diingini dari mereka tidak pernah kekal
abadi.
Ketika
menyedari kenyataan “tidak menentu”nya makhluk. Kita hayati hakikat ini
setiap kali berinteraksi dengan sekeliling, samada dari kalangan
manusia atau alam. Sama sahaja. Semuanya digerakkan oleh Tuhan yang
menentukan segalanya dengan kebijaksanaan. Namun, kita yang lalai. Kita
rela dibelenggu “rutin” harian daripada melihat interaksi Allah s.w.t.
di sebalik setiap pergerakan makhluk.
Oleh
sebab itulah, Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari menyebutkan bahawa,
bilamana Allah s.w.t. membuatkan alam dan makhluk ini serba
merungsingkanmu, ianya sebenarnya adalah suatu panggilan agar kamu
mencari ketenangan hanya pada kebersamaan denganNya. Bilamana Allah
s.w.t. memberi musibah, Dia ingin kamu kembali kepadaNya dengan penuh
pasrah dan berserah. Bilamana Allah s.w.t. memberimu ujian, Dia ingin
kamu mencariNya untuk meminta bantuan. Bilamana Dia memberimu
kesempitan, Dia ingin kamu kembali kepadaNya untuk mencari kelapangan.
Hanya
kepada Dia, kamu perlu kembali. Hanya kerana Dia, kamu perlu kembali.
Hanya kerana Dia, kamu perlu kembali kepadaNya. Bukan kerana selainNya.
Ini kerana, seluruh selainNya adalah khayalan yang sentiasa menghimpit.
Makin kamu renggangkan antara keduanya untuk mencari kelapangan dalam
makhluk, makin kuat kamu akan dihimpit.
Kalau
Allah s.w.t. menyayangi seseorang, Dia akan memahamkan hakikat “seruan
kepulangan” ini dalam dirinya di sebalik setiap musibah melanda. Alam
adalah interaksi Allah s.w.t. dengan para hambaNya. Namun, kebanyakan
mereka lalai dari memahaminya kerana tidak pernah menghadirkan Allah
s.w.t. dalam hati mereka.
Kamu
perlu sedar hakikat ini. Allah s.w.t. tidak pernah menyusahkanmu,
kerana bukan itu tujuan kamu diciptakan. Allah s.w.t. sengaja
menyempitkan makhluk agar kita mencari kelapangan pada kebersamaan
denganNya. Hanya denganNya. Fahamilah isyarat ini duhai teman, lalu anda
akan dapat melihat kebersamaan Tuhan.
Ramai Kembali KepadaNya Dengan Dusta
Memang
benar. Setelah kesempitan kian menghimpit, setelah kesusahan makin
menyusahkan dan setelah hidup semakin redup, ramai yang mengangkat
tangan dan berdoa. Ramai yang memohon kepada Allah s.w.t..
Tetapi,
kerana apa mereka kembali kepada Allah s.w.t.? Ramai yang kembali dalam
keadaan dusta. Mereka kembali mencari Allah s.w.t. agar Allah memberi
semua keinginan mereka terhadap makhluk-makhluk.
Tatkala
mereka miskin, maka Allah s.w.t. kayakan mereka. Tatkala kaya, mereka
lupakan Allah s.w.t.. Tatkala mereka ditimpa kemiskinan, maka mereka
mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah s.w.t., untuk mendapat
kekayaan semula. Setelah mendapat kekayaan semula, Allah s.w.t.
ditinggalkan semula. Biadapnya manusia. Allah s.w.t. memanggilnya untuk
kembali kepadaNya semata-mata keranaNya, namun dia kembali kepada Allah
s.w.t. kerana inginkan makhluk lalu setelah dapat makhluk yang diingini,
Allah s.w.t. terus dilupai. Beginikan sifat hamba, wahai penderhaka?
Allah
s.w.t. terus memberi kasih sayangNya kepada mereka yang terus lupa.
Demi cintaNya pada para hambaNya, Allah s.w.t. terus memberi peluang
kepada hamba-hambaNya. Namun, sampai bila wahai manusia? Allah s.w.t.
sentiasa memanggilmu agar kembali mencintaiNya berbanding selainNya, dan
kembali menujuNya berbanding tamakkan dunia yang sementara. Namun,
hidup ini seolah-olah tidak mengajar sebarang erti, melainkan segumpal
khayalan yang menipu diri.
Wahai
hamba, jujurlah denganNya. Segala yang ditentukan kepada kita adalah
kerana kita, namun segala yang kita lakukan dalam dunia adalah kerana
kita. Dimanakah cinta? Atau sedang memperhambakan Tuhan? Sebaik-baik
kebaikan dalam jalan cinta adalah menghargai cinta yang telah diberikan.
Jujurlah dengan Tuhan, kelak akan temui jawapan bagi segala persoalan.
Janganlah
terus lalai mencari makhluk yang sengaja dibuat sering menyusahkan agar
kita mencari Allah s.w.t. yang Maha Menyenangkan. Kilauan cinta dunia
dan makhluk adalah dari tipu daya nafsu dan hasutan syaitan. Andai anda
melihat dengan kaca mata iman, melalui hati yang jernih, anda akan
dapati hanya Allah s.w.t. sebaik-baik Pencinta yang mendamaikan.
Renungkanlah…
Dengan
kelalaian inikah kita ingin pulang bertemu Ilahi setelah mati? Dengan
kebiadaban inikah kita ingin berdiri di hadapanNya sewaktu hari
Perhitungan? Alangkah tertipunya andai masih terus tertawa, sedang
amalan masih belum terkumpul utuk dibawa. Alangkah malangnya andai masih
terus terlena, sedang usia semakin sirna.
Kembalilah
kepadaNya dengan ketaatan, sebelum kembali kepadaNya tanpa amalan.
Kembalilah kepadaNya dengan kejujuran, sebelum kembali kepadaNya dengan
penuh sesalan.
******************
alhamdulillah
kepada anda yang berjaya menghabiskan bacaan ini..sedikit sebanyak
telah memberi kesan pada hati kita kn? insyaAllah..moga2 hati kita
sentiasa lunak dengan mengingatiNya...Allah..Allah..Allah...
p/s: moga memberi manfaat pada kita semua..barakallahufikum..'dari Allah kita datang, kepada Dia juga kita kembali"
0 comments:
Post a Comment