MATLAMAT SEORANG MUKMIN
Setiap
dari kita adalah hamba. Hamba yang punya Pencipta. Dialah yang mengatur
segala-galanya apa yang ada di langit dan di bumi. Dialah yang
menghidupkan dan mematikan. Dialah juga yang memberi rezeki kepada semua
makhluk ciptaan-Nya.
Dialah Allah SWT.
Menjadikan
Allah SWT sebagai matlamat seorang hamba adalah satu kewajiban.
Bagaimana mahu meletakan-Nya sebagai matlamat utama kita?
Ikhlaskan setiap percakapan, perbuatan dan setiap ibadah kita kerana Allah SWT. Firman-Nya, “Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta Alam.” (Surah al-An’am: 162)
Tidak
cukup dengan itu, yakinlah di dalam lubuk hati kita bahawa syariat
Allah SWT itulah petunjuk, penyelamat, dan sempurna. Apa yang ada selain
syariat Allah SWT, iaitu sistem undang-undang manusia adalah tidak
kekal dan bukanlah penyelesai.
Bahkan, ada yang menyesatkan.
Firman Allah, “Dan
hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang
telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa
nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari
sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika
mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah,
hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari
dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu
adalah orang-orang yang fasik. Sesudah itu, patutkah mereka
berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada
orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat
hukum yang lebih pada daripada Allah.” (Surah al-Ma’idah: 49-50)
Penyerahan
kepada Allah SWT adalah sebenar-benar penyerahan. Patuh kepada setiap
suruhan dan tinggalkan segala apa yang ditegah-Nya. Dia Maha Pencipta,
maka Dia berhak melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya.
Dia juga Maha Bijaksana. Maka Dia meletakkan sesuatu pasti pada tempatnya, yang bersesuaian.
Lihatlah
peribadi Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab dalam kepatuhan kepada
perbuatan Rasulullah SAW ketika mencium Hajarul Aswad. Hakikatnya,
beliau tidak mengetahui apakah hikmah mencium batu itu. Apa yang beliau
katakan?
“Aku
mengetahui bahawa engkau adalah seketul batu yang tidak membawa mudarat
dan tidak memberi manfaat. Kalaulah tidak kerana aku telah melihat
Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akanm menciummu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Yakinlah.
Bahawa Dia Yang Menghidupkan dan Dia juga Yang Mematikan. Dia Yang
Memuliakan dan Dia juga Yang Menghinakakan. Dia Yang Memberi Manfaat,
Dia Yang Memberi Mudarat.
Setiap apa yang berlaku adalah keputusan-Nya.
Cukuplah kepada orang Mukmin, didatangkan kepadanya firman Allah SWT,
“Demi
sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut
(kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya)
kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah
khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu)
orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka
berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah
jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang
dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta
rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk
hidayahNya.”(Surah al-Baqarah: 155-157)
Terakhir,
tidak akan sempurna matlamat itu sekiranya tidak menjadikan redha dan
rasa takut kepada Allah SWT sebagai matlamat utama.
Ketepikan redha, amarah, celaan, mahupun pujian manusia.
Firman Allah SWT, “…Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya, jika betul mereka orang-orang yang beriman.” (Surah al-Taubah: 62)
Untuk menjadi hamba hanya kepada-Nya.
0 comments:
Post a Comment