PERBEZAAN PENDAKWA SYARIE DAN PENDAKWA RAYA
PENGENALAN
Semua
kes-kes jenayah yang serius memerlukan penglibatan tiga individu iaitu:
hakim, peguam untuk melaksanakan pendakwaan, dan peguam untuk
tertuduh(peguambela). Jika mana-mana satu daripada mereka ini tidak
menghadirkan diri semasa prosedur perbicaraan di Mahkamah, sistem
keadilan jenayah sudah pasti tidak akan lengkap. Kedudukan pendakwa
berada pada kedudukan yang amat penting dalam sistem keadilan jenayah
serta memainkan satu peranan yang penting sebelum, semasa dan selepas
perbicaraan.
Pendakwa
mempunyai fungsi yang banyak sepanjang proses prosedur jenayah.
Perkara pertama yang mesti difahami adalah mengenai tugas pendakwa
ialah untuk mencari keadilan, bukan sekadar untuk mensabitkan. Kewajipan
pendakwa ialah untuk melindungi mereka yang tidak bersalah serta untuk
mensabitkan mereka yang bersalah, mengawal hak-hak bagi tertuduh serta
untuk menguatkuasakan hak-hak bagi orang awam. Pendakwa seharusnya
mengetahui banyak ilmu berkaitan dengan tugas polis dalam siasatan
jenayah dan dalam penguatkuasaan undang-undang, dan bagi syariah tugas
penguatkuasa.
Pendakwaan
dimulakan oleh pihak polis atau pegawai penguatkuasa bagi kes syariah
apabila suatu laporan (juga dikenali sebagai laporan maklumat pertama)
dibuat berkenaan sesuatu kesalahan yang dilakukan. Jika kesalahan itu
merupakan kesalahan boleh tangkap, pihak polis atu pegawai penguatkuasa
akan membuka kertas siasatan dan menyiasat kes itu. Jika laporan itu
berhubung dengan kesalahan tidak boleh ditangkap, pihak polis akan sama
ada merujuk pemberi maklumat kepada Majistret yang akan meneruskan
tindakan di bawah seksyen 133 ke 136 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan
Enakmen Tatacara Jenayah Selangor 2003 atau memohon untuk mendapatkan
suatu perintah untuk menyiasat daripada Pendakwa Raya atau pendakwa
Syarie sebelum mereka boleh meneruskan penyiasatan itu. Begitu juga
halnya dalam prosedur bagi syariah berdasarkan enakmen yang ada.
Perbezaan dari segi jawatan dan fungsi am
i. Menurut
Undang-undang Islam yang dikuatkusakan melalui Mahkamah Syariah yang
ada pada hari ini, Ketua Pendakwa Syarie yang mengetuai pendakwaan
kes-kes jenayah di Mahkamah Syariah adalah terdiri dari suatu badan atau
jabatan yang dilantik khusus untuk menjalankan tugas pendakwaan di
Mahkamah Syariah. Dalam kata lainnya suatu badan ditubuhkan secara
berasingan untuk menjalankan tugas pendakwaan kes-kes Syariah.
Kemudian di bawah Ketua Pendakwa Syarie tersebut dilantik pihak-pihak yang berkelayakan untuk melaksanakan tugas pendakwaan dan hanya mereka sahaja berhak untuk mendakwa untuk kes-kes Syariah tanpa dibolehkan dengan kuasa mereka memberi keizinan secara lisan mahu pun bertulis untuk membuat pendakwaan tanpa kehadirannya. Pendakwa Raya-Pendakwa Raya yang berada dibawah Ketua Pendakwa Raya adalah terdiri dari pihak yang tertentu dan dilantik mengikut negeri-negeri di Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan didalam Enakman Mahkamah Syariah.
ii. Menurut
Undang-undang Sivil pula, Ketua Pendakwa Raya adalah diketuai oleh
Peguam Negara sendiri. Ini jelas diperuntukkan didalam Seksyen 376 Kanun
Prosedur Jenayah Akta 593. Yang mana Ketua Pendakwa Raya yang diketuai
oleh Peguam Negara sendiri berhak untuk mengawal dan mengarahkan segala
pendakwaan dan prosiding jenayah dibawah Kanun tersebut.
Selain itu, ia jelas juga diperuntukkan didalam Perlembagaan Persekutuan didalam Perkara 145 fasal (3) yang memperuntukkan Peguam Nagara adalah mempunyai kuasa, dan kuasa itu hendaklah dijalankan menurut budi bicaranya, bagi membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa perbicaraan tentang sesuatu kesalahan lain daripada perbicaraan di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Bumiputera atau Mahkamah Tentera. Selain itu, untuk kes-kes jenayah dan sivil adalah terdiri daripada pendakwa raya yang berbeza. Contohnya didalam kes-kes jenayah pihak yang boleh menjadi pendakwa raya adalah terdiri daripada seperti:
a. Pendakwa Raya
b. Timbalan Pendakwa Raya
c. Seorang peguambela
d. Didalam negeri Terangganu, seorang plider yang diambil oleh pengadu atau,
e. Seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah dari Inspektor.
Dalam keadaan seperti (c) dan (d) diatas, tugas pendakwaan mereka mesti jelas dibenarkan secara bertulis oleh Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya. Dan sekiranya pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada pangkat Sarjan dan mendapat kebenaran secara bertulis oleh Pendakwa Raya untuk tempoh yang tidak melebihi empat belas hari daripada tarikh kebenaran bertulis demikian. Ini bermaksud untuk tugas-tugas pendakwaan di Mahkamah Sivil, selain Pendakwa Raya dan Timbalanya, tugas-tugas pendakwaan juga boleh dilakukan oleh mereka yang layak dan mendapat keizinan secara bertulis daripada Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya yang berhak menggunakan kuasa mereka untuk menggantikan mereka dalam tugas pendakwaan dengan pihak yang tidak dilantik secara tetap sebagai pendakwa raya sebelum itu dan boleh terdiri daripada mereka yang menjadi pegawai polis yang tidak rendah dari pangkat Sarjan.
Pemisahan tugas penguatkuasaan dan pendakwaan
Menurut Undang-undang Islam yang dikuatkuasakan melalui Mahkamah Syariah yang wujud pada hari ini ialah, tugas-tugas pendakwaan adalah berasingan dari penguatkuasaan Undang-undang Syariah. Memang pada asalnya tugas pendakwaan adalah menjadi tugas qadi atau mana-mana pihak yang menguatkuasakan Undang-undang Islam.
Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Badan Kehakiman Mahkamah Syariah telah mengasingkan pihak yang akan menjadi satu badan yang mana dikhususkan tugas mereka hanya untuk tugas-tugas pendakwaan sahaja dan di tubuhkan secara berasingan didalam Badan Kehakiman Mahkamah Syariah. Hal ini berlaku untuk mengelakkan fitnah yang berlaku terhadap kes-kes yang telah dilengkapkan oleh penguatkuasa untuk dibicarakan di Mahkamah Syariah melalui pembuktian dan kesaksian yang dibenarkan oleh hukum syarak. Ini bermakna, tugas-tugas penguatkuasaan atau penangkapan dan tugas pendakwaan adalah dilaksanakan oleh mereka yang berbeza. Mereka yang melakukan penangkapan didalam kes-kes jenayah Syariah akan tampil menjadi saksi kepada pendakwa raya untuk kes yang dibicarakan.
Hal ini jelas menunjukkan pihak yang menjadi pendakwa raya dan pihak yang menangkap dan menguatkuasakan undang-undang adalah terdiri dari pihak yang berbeza tetapi mereka bersatu atas satu slogan iaitu amar ma’ruf nahi munkar.
Manakala didalam Undang-undang Sivil, mereka yang menjadi pendakwa raya boleh menjadi penguatkuasa undang-undang dan menangkap tertuduh-tertuduh dan membawa tertuduh tersebut ke muka pengadilan. Namun, sebagaimana yang dibahaskan sebelum ini mereka juga boleh menjalankan tugas-tugas pendakwaan sekiranya mendapat keizinan bertulis dari Pendakwa Raya dan Timbalan Pendakwa Raya. Hal ini jelas menunjukkan tidak ada pengasingan badan penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan didalam undang-undang sivil. Walau bagaimana pun, sekiranya mereka yang menjalankan tugas pendakwaan tanpa keizinan bertulis oleh Ketua Pendakwa Raya atau Timbalannya sesuatu pendakwaan tersebut adalah menyalahi undang-undang dan tidak sah.
Manakala didalam Mahkamah Syariah hal tersebut tidak akan berlaku kerana pendakwaan yang dibuat oleh pendakwa raya adalah jelas mereka mempunyai kuasa untuk berbuat demikian dan tidak akan dipertikai pendakwaan mereka kerana tugas mereka hanyalah untuk mendakwa pihak yang bersalah semata-mata dan tidak mempunyai tugas-tugas lain yang boleh dipertikaikan kuasa dan bidangkuasa mereka.
Perbezaan dari segi roh dan dasar yang dipegang
Hakikat
yang perlu diketahui bahawa peranan Pendakwa Syarie kini tidak lagi
terhad kepada menguatkuasakan undang-undang syariah semata-mata, bahkan
turut berperanan sebagai penasihat serta pendidik kepada masyarakat
Islam dalam mematuhi hukum agama, selain menunaikan syariatnya atau
dalam erti kata yang lain membantu ketua agama bagi menjadikan syariat
Islam sentiasa dipatuhi oleh mereka yang tertakluk di bawahnya di
samping menjadi tunggak tertegaknya kalimah Allah di muka bumi ini bagi
menghalang serta mencegah berlakunya kemungkaran atau jenayah yang mana
jenayah merupakan kesalahan yang menyalahi hak Allah dan hak manusia.
Maka dengan terhijab hak manusia untuk memperolehi apa yang dikatakan
sebagai menjaga kemaslahatan menghalang kefasadan.Berbeza hal ini dengan Pendakwa Raya peranan mereka hanya semata-mata memberi hukuman atau terlibat dalam procedure apabila berlaku suatu jenayah tanpa didasari dengan roh Islamiayah kerana rujukan mereka adalah kepada undang-undang yang digubal oleh manusia, seperti yang diketahui setiap apa yang dibuat atau dicipta oleh manusia itu mempunyai seribu satu kelemahan yang nyata berbanding apa yang datang dari syariat Illahi. Hal ini kerana prinsip hukuman yang dikenakan dalam Islam adalah berunsur memberi pengajaran bukannya menghukum semata-mata seperti dalam undang-undang Sivil.
Perbezaan dari segi akhlak, tingkah laku dan agama
Pendakwa
Syarie mestilah seorang Islam, hal ini kerana ia berkaitan dengan
kes-kes Syariah yang mana bidangkuasanya adalah tertakluk kepada orang
Islam. Merujuk kepada akhlak ia adalah suatu perkara yang sangat
subjektif kerana terletak di dalam diri manusia dizahirkan melalui
perbuatan, akhlak salah satu aspek penting dalam mendepani apa-apa
perkara, perbuatan dalam roh Islamiah. Perkara ini sangat ditekankan
maka dengan sebab itu sebagai orang Islam kita perlu menyelidik dahulu
khabar berita yang dibawa oleh orang fasik, kerana takut akan berlaku
kefasidan yang jelas jika tidak diselidiki terlebih dahulu. Pendakwa Raya dalam Undang-undang Sivil langsung tidaak ditekankan berkaitan agama, akhlak dan tingkah laku ini. Tumpuan yang lebih diberi hanya kepada bidang tugas mereka tanpa mereka sedari ketiga-tiga aspek ini adalah penting tidak kira agama apa yang dipegang oleh Pendakwa Raya tersebut. Hal ini kerana jika dia dari kalangan India atau Kristian dia perlu berpegang dengan agama dia, apabila agama dipegang teguh setiap gerak laku dalam apa-apa perbuatan, bidang atau apa-apa yang dilakukan akan dibuat dengan penuh amanah, bertanggungjawab berdasarkan kekuatan pegangan kepada agama tersebut yang boleh menghalang seseorang keluar dari garisan atau landasan yang telah ditetapkan.
Perbezaan dari segi prinsip pendakwaan yang dipegang
Asas atau prinsip pendakwaan dalam Islam berdasarkan lexim-lexim atau kaedah fiqhiah yang ada seperti al-Baiyinnah cala Mudaci wal Yamin cala man ankara (keterangan atas pihak yang mendakwa dan sumpah ke atas pihak yang ingkar) di samping al-Asl baraatul zimmah
(seseorang itu adalah bebas pada asalnya tanpa apa-apa tanggungan).
Prinsip-prinsip ini adalah prinsip yang dipegang oleh Pendakwa Syarie
apabila membuat suatu pendakwaan di mahkamah, berbeza dengan Pendakwa
Raya mereka perlu membuktikan suatu kes tersebut hingga tiada Prima Facie
kes, iaitu sehingga ke tahap tiada keraguan yang munasabah. Apabila ada
sahaja prima facie kes automatic akan menjadi lemah. Perkara-perkara
ini adalah melibatkan jenis atau bentuk-bentuk keterangan yang akan
digunakan apabila membuat suatu sabitan.
PENUTUP
Sesungguhnya
terdapat banyak perbezaan yang amat ketara antara Pendakwa Raya dan
Pendakwa Syarie. Perbezaan ini mungkin tidak terlalu banyak pada aspek
bidang tugas kerana tugas kedua-dua individu ini berdasarkan kepada apa
yang tertakluk dalam Akta yang telah dikanunkan. Hal ini kerana Enakmen
Tatacara Jenayah di setiap negeri adalah dihasilkan daripada Kanun
Prosedure Jenayah Malaysia. Cuma yang berbeza sedikit perkara yang
berhubung atau menyalahi syariat dibuang seperti dalam hal yang
berkaitan dengan penahanan, tangkapan atau lain-lain.
Walau bagaimanapun, yang menjadi perbezaan antara kedua-dua individu
ini adalah dari segi akhlak, tingkah laku, moral, agama dan etika yang
mana Islam sangat mementingkan hal-hal ini. Dengan menjaga hal-hal ini
akan dapat melahirkan individu yang adil iaitu individu yang mampu
meletakkan sesuatu yang berhak ke atas dirinya sendiri maka sudah tentu
dia juga mampu memegang tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepanya
sebaik mungkin. Apa-apa yang didasari oleh agama hasilnya akan menjadi
baik. Pendakwa Syarie salah satu peranan mereka adalah sebagai pendidik
kepada masyarakat agar mematuhi garis sempadan yang telah ditetapkan
oleh syariat Islamiyah.
Justeru itu, perbezaan antara Pendakwa Syarie dan Pendakwa Raya
perlulah diperhalusi dengan jitu berdasarkan realiti semasa yang berlaku
di Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah sendiri.
0 comments:
Post a Comment